top of page

Surah Al Kahfi dan Fitnah Dajjal

  • Writer: marzyani mazlan
    marzyani mazlan
  • Mar 21, 2019
  • 7 min read

Bagaimana 10 Ayat Pertama Surah ini Mampu Memberi Perlindungan Diri


Dajjal (Ilustrasi)

Bagi sesiapa yang seperti saya, apabila pertama kali mendengar perihal Dajjal bermula dari mendengar namanya, akan timbullah bermacam persoalan berkaitan dia di kepala. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui yang dia akan muncul suatu hari nanti membawa kesesatan kepada manusia secara besar-besaran. Imam Al-Ghazali mengatakan dia adalah fitnah (ujian) terbesar umat akhir zaman, dan baginda Rasulullah SAW berpesan untuk berpegang teguh pada al-Quran, khususnya Surah Al-Kahfi dan 10 ayat yang pertama bagi melindungi diri dari fitnah itu.


Tapi kenapa Surah Al Kahfi dan apa sebenarnya maksud ayat-ayat yang sepuluh itu?


Bila kita cuba baca terjemahan 10 ayat pertama surah ini, rasanya tidak jauh bezanya dengan maksud ayat-ayat dari surah-surah lain dalam AlQuran, kan? Bezanya, yelah ayat ini seterusnya menceritakan tentang Pemuda Al Kahfi / Ashabul Kahfi. Tapi, apa kaitan mereka dan peristiwa mereka, dengan kita dan fitnah dajjal?




Kredit untuk Ustaz Nouman Ali Khan, saya mendengar kuliah beliau (2016) dan belajar darinya.


"Dia boleh menurunkan hujan, menyuburkan tanah yang tandus, mencantikkan sesuatu dengan amat indah sekali, dan dia berjanji akan balasan-balasan istimewa jika kita beriman kepadanya"


Saya tertarik dengan pendekatan dan cara penyampaian ustaz ini berkenaan pengajaran dari ayat-ayat ini. Saya tak mampu nak kongsikan semua. Jadi saya kongsikan satu pengajaran dulu, yang bagi saya amat membantu dalam memberi saya lebih 'feel' bila mengamalkan surah ini setiap hari Jumaat. Iaitu, makna dan bagaimana ayat-ayat ini berkait dengan situasi fitnah Dajjal.


Tapi terlebih dahulu sebelum apa-apa adalah lebih baik jika kita cuba fahami, atau sekurang-kurangnya perhatikan dahulu apakah terjemahan ayat-ayat yang sepuluh itu supaya kita dapat melihat perkaitannya dengan situasi-situasi dalam fitnah Dajjal itu nanti. Saya elakkan dari meletak setiap ayat Quran bagi mengelakkan terlalu banyak maklumat dilihat, dan hanya letakkan terjemahan ayat dan tebalkan perkataan-perkataan utama.



Terjemahan Ayat 1

Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hamba-Nya Al Kitab (Al-Quran) dan Dia tidak mengadakan kebengkokan di dalamnya

Terjemahan Ayat 2

Sebagai bimbingan yang lurus, untuk memperingatkan siksaan yang sangat pedih dari sisi Allah dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman, yang mengerjakan amal soleh, bahwa mereka akan mendapat pembalasan yang baik

***


Perkataan 'kebengkokan' di dalam ayat ini ditafsirkan dari kalimah ' 'iwaja' yang juga boleh membawa maksud 'pesong' atau 'tidak tetap'. Secara keseluruhan ayat yang pertama ini adalah, (ringkasnya) Allah menyerlahkan kandungan Al-Quran tanpa kebengkokan pada kandungannya, dan ia akan kekal selamanya demikian. Ini diperkukuhkan lagi dalam ayatnya yang kedua yang menyatakan 'sebagai bimbingan yang lurus' ditakrifkan dari kalimah 'qayyima' yang juga membawa maksud 'tegak / berdiri teguh'.


Dikatakan bahawa nanti, bilamana Dajjal itu tiba seluruh dunia ini (telah pun) berada dalam keadaan huruhara. Tidak ada sesuatu yang meyakinkan; kebenaran tidak lagi nyata, perkara batil dan salah berleluasa, keimanan dan kepercayaan dijualbeli, sempadan sosial tidak lagi wujud, dan kejujuran menjadi sesuatu yang sukar ditemui. Tiada lagi garisan lurus yang jelas mengasingkan perkara benar dan salah, baik atau jahat. Tiada panduan hidup yang teguh. Dalam suasana dan masa yang penuh dengan kekeliruan ini, ketibaan Dajjal semakin memburukkan keadaan. Namun, Al Quran akan tetap lurus, tidak ada kebengkokan dan berdiri teguh tanpa keraguan. Oleh itu jika kita berpegang teguh padanya, pada sekurang-kurangnya ayat ini, insyaAllah kita akan tetap berada di jalan kebenaran.


Terjemahan Ayat 3

mereka kekal di dalamnya untuk selama-lamanya.

***

Ayat ini mengandungi kata-kata motivasi bagi mereka yang beriman untuk terus berpegang pada AlQuran dan keimanan mereka pada Allah pada ketika mereka diuji, dan terus berbuat baik dan beramal soleh kerana mereka akan diberi balasan dari Allah yang tidak terhingga banyaknya, (dalam jumlah dan tempoh masa) berbanding dengan apa yang mereka terlepas dan berasa seolah-olah rugi di dunia ini.


< Okay. Ayat-ayat berikut akan mula menceritakan kisah Pemuda AlKahfi /Ashabul Kahfi, yang mana penting untuk kita jadikan panduan ketika menghadapi fitnah Dajjal >

Terjemahan Ayat 4

Dan untuk memperingatkan kepada orang-orang yang berkata: "Allah mengambil seorang anak".


Terjemahan Ayat 5

Mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang hal itu, begitu pula nenek moyang mereka. Alangkah buruknya kata-kata yang keluar dari mulut mereka; mereka tidak mengatakan (sesuatu) kecuali dusta. ***


Kedua-dua ayat ini adalah berkaitan dengan satu peristiwa bersejarah iaitu Pemuda AlKahfi yang telah berlaku beberapa kurun sebelum kelahiran baginda Rasulullah SAW. Kejadian yang berlaku ini telah dijadikan satu bentuk kepercayaan dalam golongan yang beragama Kristian dan menjadi sebutan dan diceritakan secara turun temurun oleh golongan itu. Mereka telah menukar jalan cerita kejadian sebenar, mengolah kisah mereka agar menjadi sesuatu kisah lagenda yang menyokong penyebaran kepercayaan mereka secara meluas.


Kisah itu terus disebarkan sehingga tiba pada zaman dan masyarakat pada zaman kenabian Rasulullah SAW, dan baginda telah ditanyakan berkenaan kisah Pemuda AlKahfi ini. Maka Allah telah menurunkan ayat ini bagi menjelaskan kisah yang sebenar, dan menafikan fakta yang disebarkan.


Kaum beragama Kristian mengatakan bahawa Pemuda AlKahfi merupakan antara yang mempercayai bahawa Tuhan mereka telah memilih seorang anak (Isa AS), dan kerana kepercayaan mereka, pemerintah cuba menghukum mereka lalu mereka lari berlindung di dalam sebuah gua. Pemuda ini kemudiannya diangkat oleh mereka sebagai manusia suci (saints) dan menjadi perantara antara manusia dan syurga (sehingga ada yang dijadikan tangkal pelindung). Di pintu gua tempat mereka berlindung diukirkan nama-nama dan kisah mereka dalam bentuk inskripsi (ukiran; atau dalam bahasa Arab = Ar raqiim)


Sesungguhnya Allah amat membenci apabila dikatakan sedemikian (tentang Allah memilih seorang anak) lalu menurunkan ayat-ayat ini sebagai penafian dan memberi amaran keras kepada golongan itu. Melalui Surah ini juga, Allah telah membersihkan nama-nama Pemuda AlKahfi dari kenyataan yang tidak benar tentang pegangan mereka, dan menegaskan bahawa mereka adalah Pemuda-pemuda yang beriman (kepada keEsaan Allah) seterusnya menafikan peranan mereka sebagai ahli keramat bagi kaum Kristian.



Lalu Allah memulakan penerangan tentang keajaiban kisah Pemuda AlKahfi dengan pertamanya mengajarkan kita akan doa yang telah dimohon oleh Pemuda-pemuda itu, dikala mereka ingin meminta rahmat Allah untuk perlindungan dan bimbingan untuk menyelamatkan diri mereka dari pemerintah yang zalim.


Terjemahan Ayat 6

Maka (apakah) barangkali kamu akan membinasakan dirimu kerana bersedih hati setelah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini (Al-Quran).

***

Ayat ini adalah untuk memujuk baginda Rasulullah SAW (dan juga para pendakwah secara tidak langsung) apabila kaumnya tetap tidak mahu mempercayai keterangan ayat-ayat Quran dan kembali pada Islam, walaupun baginda Rasulullah SAW telah berusaha sedaya upayanya. Kesedihan baginda amat mendalam sehingga ada kemungkinan mengakibatkan kesakitan dan kemudaratan kepada diri baginda, maka Allah menurunkan ayat ini sebagai peringatan untuk tidak membiarkan dirinya terlalu bersedih hati.


Terjemahan Ayat 7

Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya


Terjemahan Ayat 8

Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menjadikan (pula) apa yang di atasnya menjadi tanah rata lagi tandus.

***

Selain dari mengingatkan kita bahawa semua yang telah dijadikan di muka bumi ini adalah sebenarnya perhiasan semata-mata dan tidak akan kekal selamanya, ayat-ayat ini juga merupakan satu peringatan dan pegangan yang amat penting apabila Dajjal menyebarkan pengaruhnya. Dajjal akan diberikan kebolehan oleh Allah SWT (sebagai ujian besar untuk keimanan kita) menggunakan tarikan kebendaan dan keduniaan. Dia boleh menurunkan hujan, menyuburkan tanah yang tandus, mencantikkan sesuatu dengan amat indah sekali, dan dia berjanji akan balasan-balasan istimewa jika kita beriman kepadanya. Kita mesti ingat bahawa hanya Allah yang mengizinkan ia berlaku dan akhirnya, Allah akan menghancurkan semua keindahan itu dan menjadikan bumi sebagai tanah yang rata dan tandus di mana hari pembalasan akan berlangsung. Ketika kita diuji dengan pelbagai ujian, kita harus terus cuba sebaik mungkin untuk berbuat baik dan menjaga amalan-amalan kita.


Terjemahan Ayat 9

Atau kamu mengira bahawa orang-orang yang mendiami gua dan (yang mempunyai) raqim itu, mereka termasuk tanda-tanda kekuasaan Kami yang menghairankan?

Terjemahan Ayat 10

(Ingatlah) tatkala para pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)". ***


Dalam ayat ke 9 ini, Allah mengingatkan bahawa kisah Pemuda AlKahfi ini adalah hanya salah satu dari kisah-kisah yang penuh keajaiban sebagai tanda kekuasaan dan kebesaranNya. Kerana walau hanya kita lihat di dalam surah yang sama ada lagi beberapa lagi kisah yang mengkagumkan untuk kita ambil pengajaran darinya (Kisah Dua Pemilik Taman, Kisah Nabi Musa dan Khidr, dan Kisah Zulkarnaen), apatah lagi dalam seluruh AlQuran dan seluruh kejadianNya yang lain. Lalu Allah memulakan penerangan tentang keajaiban kisah Pemuda AlKahfi dengan pertamanya mengajarkan kita (dalam ayat ke 10) akan doa yang telah dimohon oleh Pemuda-pemuda itu, dikala mereka ingin meminta rahmat Allah untuk perlindungan dan bimbingan untuk menyelamatkan diri mereka dari pemerintah yang zalim.


Doa yang sama inilah yang penting untuk kita amalkan untuk menyelamatkan diri dan iman kita dari fitnah Dajjal. Kerana di kala diuji dengan fitnah Dajjal, kita dan Pemuda AlKahfi adalah sama; kita ingin memohon rahmat Allah dan bimbinganNya supaya kita terselamat dari ancaman pihak yang amat berkuasa. Dari Abu Darda’ radhiyallahu anhu, bahwa Nabi SAW bersabda:


“Barangsiapa yang menghafal sepuluh ayat pertama dari surat Al-Kahfi, nescaya dia akan terlindung dari (fitnah) Dajjal. Dan di dalam riwayat lain disebutkan: “(sepuluh ayat terakhir) dari surat Al-Kahfi.”




Mudah-mudahan dengan penulisan ini dapat saya kongsikan bagaimana sepuluh ayat yang pertama ini dapat melindungi iman kita dari fitnah Dajjal.


Mudah-mudahan juga seperti mana ia memberi lebih makna kepada diri saya bila saya dapat mengaitkan makna-makna ayat dan aplikasinya, ia juga memberi makna kepada semua yang membaca. Mungkin ada yang berpendapat bahawa kita tidak memerlukan perlindungan dari ayat ini buat masa sekarang, kerana Dajjal belum tiba. Ia hanya penting untuk diajarkan kepada anak-anak dan cucu-cucu kita.


Sebenarnya, fadhilat dan pengajaran dari surah ini sudah dapat kita ambil walaupun sekarang, kerana sekarang juga kita sedang dan sering diuji dengan pelbagai bentuk kekeliruan yang meresahkan. Bersesuaian dengan hadis nabi; Dari Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu anhu, bahwa Nabi shallallahu alaihi wasallam bersabda:

“Barangsiapa yang membaca surat Al-Kahfi pada hari Jum’at, maka Allah akan menyinarinya dengan cahaya di antara dua Jum’at.”


Yang mana bagi saya, maksudnya, jika kita konsisten dan tetap dengan mengingatkan diri dengan pengajaran dari ayat-ayat Surah AlKahfi ini setiap hari Jumaat, kita akan diterangi dengan 'cahaya' yang membimbing kita sehingga tiba Jumaat yang seterusnya.




Jadi sekian dulu buat masa ini. Semoga di masa hadapan (ntah bila agaknya) saya juga akan dapat berkongsi kefahaman tentang 10 ayat yang terakhir pula. Mohon ampun dan maaf atas salah dan silap yang mana ada. Semoga Allah merahmati kita semua dengan kefahaman pada AlQuran, untuk kita mempunyai hubungan yang erat dengan AlQuran, dan semoga AlQuran akan menjadi hujah kita apabila tiba masa semua bantuan tidak lagi ada.


Wassalamualaikum warahmatullah.


Surah Al Kahfi Ayat 1 - 10



Comments


© 2019 by MarzyaniMazlan. 

Join my mailing list

bottom of page